Friday, April 10, 2009

BERIBADAH KERANA FADHILAT ADALAH ROSAK

Renung-renungkanlah....adakah kita ikhlas bila beribadat.
***************************************************

Sejak 700 tahun terakhir ini, umat Islam sudah tidak dididik dengan dikenalkan kepada Tuhan dahulu. Padahal mereka kononnya ingin ikut Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Rasulullah menyebutkan bahawa awal-awal agama adalah mengenal Allah . Inilah yang Rasulullah buat.

Cuba baca sejarah Rasulullah, Baginda menggunakan masa selama 13 tahun untuk menanamkan iman dan tauhid, untuk mengenalkan Tuhan yang Esa. Dengan kata lain Tuhan yang Esa itu diperkenalkan terlebih dahulu kepada umat Arab jahiliah. Sedangkan syariat yang beribu-ribu itu Rasulullah kenalkan kepada umat Islam selama 10 tahun setelah memperkenalkan Tuhan dahulu sehingga Tuhan dikenal, dicintai dan ditakuti. Apabila kita mengenalkan syariat lebih dahulu, orang menerima Islam tidak secara sukarela tetapi dengan terpaksa, sebab sudah diikat dengan peraturan: ini halal, ini haram dan seterusnya.

Oleh kerana syariat dikenalkan lebih dahulu, maka umat Islam membuat hal-hal yang diperintahkan Allah dengan tujuan untuk mendapat pahala atau masuk Syurga dan meninggalkan larangan-larangan Allah, kerana takut berdosa dan takut dimasukkan ke dalam Neraka. Mereka beramal kerana fadhilat. Sekarang ini kita lihat rata-rata umat Islam walaupun mengerjakan solat, tapi hatinya masih penuh dengan mazmumah.

Pergi haji atau umrah sudah 10 kali tetapi masih hasad dengki, sombong, ego, pemarah dan lain-lain. Padahal yang wajib itu sekali, yang lainnya sunat. Tetapi kebanyakan umat Islam bangga kalau dapat mengerjakan haji atau umrah berulang kali dengan belanja yang mahal. Padahal wang tersebut dapat digunakan membangunkan berbagai projek kebaikan untuk membantu orang-orang miskin dan tidak berharta.

Inilah akibatnya bila beribadah kerana mengejar fadhilat, untuk mendapat pahala, masuk Syurga atau kerana takut Neraka. Akhirnya ibadah menjadi ideologi, sebab tidak dikaitkan dengan Tuhan. Walau ibadah meriah, masjid penuh, tetapi kebanyakan masyarakat masih jahat, yang beribadah masih jahat, yang tidak beribadah juga jahat. Kita mesti membezakan antara orang yang beribadah dengan tujuan mencari fadhilat dengan orang yang beribadah atas dasar ubudiah mencari redha dan cinta Tuhan.

Orang yang beribadah atas dasar ubudiah kerana Zat Allah, walaupun ibadahnya sedikit tetapi sangat berkesan pada hati. Dia akan terdorong untuk membuat perubahan pada hatinya, membuang berbagai sifat mazmumah (jahat) dari dalam hati dan berusaha menyuburkan sifat-sifat baik seperti pemurah, pemaaf, kasih sayang, tawaduk, bertolong bantu dan lain-lain. Dia akan menjaga hubungan hatinya dengan Allah agar tidak cacat.

Rabiatul Adawiyah ditanya orang, "Kalau engkau dimasukkan Tuhan dalam Neraka bagaimana?"

Beliau menjawab, "Kalau dimasukkan ke Neraka dengan redha Tuhan, tidak mengapa."

Tetapi yang beribadah atas dasar selain itu walaupun banyak, ibadahnya tidak akan memberi kesan pada hati. Misalnya masih pemarah, ego, tidak timbang rasa, tidak pemaaf, tidak ada kerja sama. Mereka mudah terjebak ke dalam maksiat lahir dan maksiat batin. Sebab itu di hari ini seluruh dunia umat Islam sibuk membangun masjid, tetapi makin banyak masjid makin rosak umat Islam. Masjid jadi tempat berpolitik, tempat mengumpat, tempat berkelahi, tempat membuat fitnah, tempat cari makan, tempat berebut kuasa.

Orang yang beribadah kerana fadhilat akhirnya rosak dan akan merosakkan orang lain. Rasulullah pernah menyebut, cukup dua rakaat solat sunat tetapi memberi kesan pada hati daripada ribuan rakaat tapi tidak memberi kesan.

Ada orang yang salah faham. Mereka lebih mengutamakan solat sunat (dan juga wajib) yang banyak walau tidak khusyuk daripada mengusahakan khusyuk. Mereka anggap kalau dua rakaat yang khusyuk dapat nilai 20, maka kalau mereka buat 10 rakaat tidak khusyuk, tentu akan dapat pahala yang lebih banyak walaupun dengan nilai yang tidak sempurna katalah 60. Sebenarnya mereka sudah kurang ajar dengan Tuhan. Sebab seolah mereka sudah membezakan Tuhan yang mereka sembah ketika solat sunat dan solat wajib. Apakah ini perkara kecil?

2 comments:

Ust Halim Nasir said...

Pandangan yg baik untuk direnungi. Kindly visit my blog.

Neeza Shahril said...

lebih baik kita fikir, kita ni hamba.. dan hamba wajib patuh pada tuan (penciptanya).. Insyaallah, segala ibadah dibuat dengan ikhlas kan kak Nik..

kalau asyik nak kira2 aje.. cam tu Allah kira balik apa yang kita buat.. uwwaaaa!!! banyaknya dosa sebenarnya...
lagipun, kita macam buat business pulak dengan Allah kan..

Related Posts with Thumbnails